Saturday, May 14, 2011

ABANG CIK, MAK SIAH, DAN TOK WAN LAH (SEBUAH MEMOIR TENTANG KELUARGA ANGKAT)

Kira-kira 15 tahun lalu yang sudah terliwat, di sebuah kampung yang agak permai dengan alunan melodi ceria petak sawah, burung pucung dan wak-wak, unggas-unggas kental hutan, dan harum udara dan segar angin pemberian Tuhan, ada sebuah keluarga yang sedang dalam proses penstabilan kehidupan. Sepasang suami-isteri yang dikurniakan anugerah maha indah oleh Yang Maha Segala iaitu dua anak lelaki awal...

Suami dan isteri itu sedang bersusah-payah mengendur khudrat ejakulasi hidup kerana mereka masih di awal ambang berkeluarga- mencari rezeki buat hari sekarang. Anak mereka yang sulung mungkin sudah mampu bermain bersama kawan-kawan, namun anak kedua masih lagi mentah untuk menyuluh jalannya. Jadi, sewaktu ibu dan abahnya keluar mencari raja kertas, dia diserahkan agar dipelihara oleh satu keluarga yang teramat-amat baik- keluarga Tok Wan Lah dan isterinya, Mak Siah...

Tok Wan Lah sudah tua, kerjanya sebagai pemandu teksi. Mak siah adalah stereotaip wanita desa, melakunkan watak sebagai suri rumah. Tok Wan Lah seorang contoh ayah yang bertanggungjawab. Mak Siah simbol ibu yang penyayang. Mereka tinggal bertiga, bersama seorang lagi anak angkat, anak kepada adik Mak Siah yang sudah meninggal- Abang Cik namanya...

Setiap pagi, di setiap pagi, di setiap awal hari yang masih belum kukuh klimaksnya, anak itu akan dihantar ke rumah Tok Wan Lah. Mak Siah akan menunggu di bendul pintu dengan seyuman tuanya, sementara Tok Wan Lah sedang bersiap-siap untuk mencari penumpang dengan teksi usangnya. Mereka akan memberhentikan waktu mereka semata-mata untuk merangkul anak kecil itu sebagai kunci kehidupan mereka saban hari, saban waktu.

Di ketiadaan Tok Wan Lah yang keluar bekerja, Mak Siah sekali pun tidak pernah renggangkan anak kecil itu dari peluknya; disuap makan anak itu dalam peluknya, dibiar bermain dalam peluknya, membasuh baju pun anak itu tetap dalam peluknya. Hinggakan, anak itu memanggil Mak Siah dengan nama 'Mak', umpama mak kandungnya sendiri pula. Mak Siah seorang yang lembut, umpama bantal yang menenangkan. Mak Siah memang menenangkan...

Kerja sebagai pemandu teksi perlukan waktu kerja yang lama, namun bagi Tok Wan Lah, setiap petang dia akan pulang, bersama apa-apa saja buah tangan untuk di berikan- permainan figura, cokelat cair, gula-gula manis, keropok jajan, dan Tok Wan Lah tahu anak kecil itu sangat sukakan biskut Rocky. Dan dia pasti, akan ada saja yang dibawapulang untuk menggembirakan anak itu. Selalu benar anak itu dibawa bersiar-siar bersam teksi usangnya menyelusuri setiap lorong di kampung, sambil memakan biskut Rocky...

Anak itu umpama anak sendiri, ditatang dan disayang walaupun sebenarnya, mereka cuma keluarga yang mendapat upah kerana memelihara anak itu...

Abang Cik, watak penting kenapa entry ini dipahatkan di dada Diaridosa, seorang anak remaja kampung biasa. Di saat itu, dia masih di bangku sekolah menengah. Setiap pagi, sebelum dia ke sekolah, akan dia peluk cium anak kecil itu umpama anak kecil itu adalah kebahagaian hari-harinya...Abang Cik seorang yang penyabar, melayan setiap keletah anak itu dengan penuh sabar, dengan penug istiqomah....

Jika anak kecil itu tidak dibawa Tok Wan Lah bersiar-siar dengan teksi, Abang Cik pasti mengayuh basikal, dengan anak kecil itu dalam saukan peluknya, bersiar-siar di melihat indahnya petang kampung di kawasan sawah padi, di bawanya anak itu melihat realiti...

Hinggakan, setiap kali ibu kandung anak itu mahu membawanya pulang setelah tamat kerja, anak itu akan menangis yang sangat-sangat, "nak dok dengan mak! nak dok dengan mak! (merujuk kepada Mak Siah)". Tangisnya bersambung lagi, "Tok Wan! Tok Wan nak Tok Wan!"...Dan yang menghibakan, anak kecil itu pasti menangis berkata, "nak tidoq dengan Abang Cik malam ni.....". Setiap hari, begitulah tangisnya...Betapa rapatnya mereka...

Sudah ditakdirkan, setiap perjumpaan akan ada perpisahan. Keluarga Tok Wan Lah perlu berpindah ke kawasan lain, jauh dari kampung. Di akhir perjumpaan, keluarga kandung merelakan anak kecil itu tinggal bersama-sama Tok Wan Lah dan Maksiah selam beberapa hari, sebagai tanda terimakasih kerana menjaga anak kecil itu...Abang Cik tak pernah berenggang dengan anak itu, walaupun mahunya dia ke tandas...

Dalam tangistawa hari-hari mereka, semua tak mampu berkata-kata cuma Tok Wan Lah dengan air bertakung di kelopak berkata, "tak mengapa kalau tak dibayar upah jagaan, asalkan kami masih diizin menjaganya...". Keluarga kandung anak itu bukan tidak mahu memenuhi pinta itu, tapi mengenangkan jarak yang jauh antara mereka, ia tak terealisasi. Jadi, mereka pun berpindah bersama kesedihan...

Abang Cik langsung tak kelihatan sewaktu perpisahan itu...Abang Cik menyembunyikan diri di belakang rumah, bersama tangisan dia menelekup harinya...

*********
Setahun yang lepas, di kampung yang sama, setelah keluarga kandung anak itu stabil sebagai sebuah keluarga, seorang lelaki, berpakaian compang-camping, dihina masyarakat kerana gila, datang mengintai-ngintai di tingkap rumah keluarga kandung anak itu, seperti mencari sesuatu...

Setelah hampir 15 tahun meninggalkan kampung itu, dia kembali...

Abah kepada anak kandung itu menyedari kedatangan lelaki itu, lalu dipelawa masuk ke rumah namun lelaki itu cuma diam lalu berkata:

"Asyraf ada...?Abang Cik nak peluk dia..."

*********

Ini kisah benar, yang baru saja diceritakan oleh ibu kandung gua sebentar tadi. Gua tak mampu ingat semuanya, ingatan gua di waktu semua itu terjadi masih mentah, gua masih budak kecil.

Maaf, gua tak mampu menyambung tulisan gua lagi sekarang, gua terlampau merindui keluarga angkat gua...

Dan gua pinta sesuatu kepada mak kandung gua, gua mahu mencari Tok Wan Lah, Mak Siah, dan semestinya Abang Cik selagi gua masih punya hayat. Gua mahu peluk mereka, gua mahu cium mereka...

Gua nak peluk Abang Cik, gua nak bawa Abang Cik menunggang basikal menyelusuri setiap pelusuk kampung, sambil makan biskut Rocky. Walaupun macam mana Abang Cik sekalipun, gua mahu peluk dan cium dia...

Banyak kisah indah yang diceritakan semula oleh mak gua tentang masa gua hidup bersama keluarga angkat gua...Namun, gua sudah terlalu sebak untuk menulis...

"...Sweet like moon-hail-mint..."
-Nervedeless-


p/s: Lelaki yang datang ke rumah
setahun lepas dalam keadaan
compang camping adalah Abang Cik...

p/s/ass: Abang Cik mengalami masalah
mental sewaktu di latihan askar,
mungkin kena buatan orang...

p/s/ass: Anak kecil itu adalah gua...