Thursday, December 25, 2008

MARI BERDANSA OH RAKSASA

Tatkala sedang asyik kami mengelamun sambil menganyam bintang untuk dijadikan alas bicara, Pali bersuara, "jom praktis... Esok kental sikit!". Oh, esok di kala malam aktif mencari tua, pagi muda mahu menjelma, kami akan beraksi sebagai sebuah band kembali! Kalian boleh datang menyaksikan kami yang tidak seberapa dan jahil dalam seniirama ini memporak-perandakan jiwa insan yang sedia hitam dengan alunan melodic death metal (mungkin...) yakni lagu sendiri juga lagu saduran dari band hebat yang lain. Set list? Nanti kiranya aku selitkan. Lokasi? Hak! Terpaksa dirahsiakan. Sila cari sendiri di internet atau flyer yang terselit dalam zine-zine tempatan. Persembahan kecil sahaja dari band kecil juga. Err, semasa sibuk rakan band berlatih, aku sempat lagi meluncur hingga jatuh terguling-guling. Skate n Destroy!!! Metal is the king, THE DARKEST KING!!! Hail!
Sedang Pali, Angah, Syammen berlatih, aku yang masih dalam konsentrasi mencari drumbeat yang sesuai menjadi bahan ketawa mereka. Ceh, mereka bilang muka aku persis dan saling tak tumpah dengan Zul Yahya (drama 'Pepaya'...) dan Bayu (hero drama Indon, 'Jelita...). Semua ini terlintas kerana aku baru memotong rambut pendek, biasalah, cuti semester dah tamat. Dan yang lagi pedih,tambah mereka, semasa aku masih menyimpan rambut dulu-dulu, muka aku macam Rahim Maarop. Aduh, nasib aku, seorang yang tak kacak. Selalu diperkotak-katikkan. B@8i betoi! Hahahak!!!
Apa-apa pun, esok kami beraksi!!! Hellyearght!!!
p/s: Mungkin corpse paint sekali kot... feel...

Wednesday, December 24, 2008

KESAMARAN AKU TATANG

Semalam ada angin. Hari inijuga sama. Hasil lestari awan yang masih tak mengalah, mungkin. Kelmarin ada api. Hari ini sedikit reda, mungkin. Amarah yang menyusahkan. Aku, entah mengapa masih begini. Kembali ke pangkuan tekanan. Oh, kembali bobrok. Aku perlu dikuarantinkan. Bukan esok, hari ini pasti. Ey 'Kamu', tolong aku...
Kapal terbang hijau, adakah aku perlu terbang kembali?
Puteri beradu janji berpadu, perlukah aku kembali begitu?
Tuan guru pendita irama, mahukah temani aku?

Monday, December 22, 2008

30 HARI MENCARI MATI, 8

Tiga orang gila, dua khemah, satu hari juga malam...




p/s: Banyak lagi gambar dan aktiviti yang di jalankan... Malam dan pagi yang GILA!!!

HARI-HARI TERAKHIR SEBELUM KE NERAKA

Ada unggas di luar. Ada pepohon juga. Tarian angin hasil kesinambungan satu karma. Tergerak jari-jemari runcing ini untuk menaip sesuatu, tatkala aku ditemani lagu To Mega Therion, lantunan hebat oleh Therion, sebuah band yang mengetengahkan teknik orkestra, koir, opera dan unsur-unsur gospel. Benar, mereka hebat amat. Sebenarnya, aku obses dengan genre yang lebih gelap, death metal atau lebih tepat lagi eastern melodic death metal. Tapi, Therion banyak mempengaruhi aku dalam membentuk melodi lagu yang aku ciptakan dulu untuk band aku. Arght, jauh aku menyimpang. Aku dalam dilema. Aku sangat keberatan untuk kembali ke kampus. Sangat berat, ibarat meriba bulan purnama penuh. Oh, sangat berat dan sulit. Cuti perlepasan semester ini memang mengikat aku dengan seribu satu memori yang mengembalikan hati hitam aku untuk hidup kembali.Namun, ia telah dilewati. Aku kini dipenghujung mimpi, hari-hari terakhir sebelum kembali ke neraka. Ya, neraka, mungkin. Tepat dengan lagu yang sedang aku dengar sekarang, Total Death oleh Krisiun. Banyak kematian di sana, semuanya menarik aku. Sebelum ke neraka, aku benar-benar pulih dari kesakitan, tahap depresi aku juga menurun mendadak. Dari aktiviti yang bisa remaja lain lakukan hingga ke yang melampai norma-norma juga ekstrim (hahahak!!!) dijayakan. Namun seperti biasa, apa-apa yang dilakukan tidak melintas tiga garisan; tidak berpaling dari agama, tiada dadah, juga seks (seks? Err, sikit-sikit ada la... Hee...)... Banyak lagi aktiviti mencari mati yang aku tidak palitkan. Aku baru sahaja pulang dari berkhemah dengan sahabat aku, Angah dan Syammen. Pali menyatakan kesulitannya untuk bersama. Walaupun aku terkilan, tapi sebagai sahabat aku hormat akan jawapannya. Seperti janji kami kami bersama, kami benar-benar masih bersama. Cukup di sini, mungkin nanti kiranya aku palitkan memori kami berkhemah bersama dakwat keasyikan tegar. Walaupun aku sangat bersyukur mendapat hasil yang lumayan dari peperiksaan yang aku tempohi dengan segenggam usaha, tidaklah terlalu bagus bagi sesetengah orang namun aku puas, aku masih tidak bersemangat untuk kembali ke neraka yakni kampus. Entahlah, cukup bagus kampus aku, namun entah mengapa aku samakan ia dengan neraka. Mungkin otak aku telah diformat dengan kadar keras yang amat gila di sana. Oh, aku akan kembali menjalani kehidupan yang menyedihkan. Dan aku sengaja menukarkan ke lagu bawaan Mistik, Journey Through Forbidden Woods kerana mungkin ia sesuai untuk menterjemahkan isi aku tatkala aku sedang bermonolog sendirian kini...

Wednesday, December 17, 2008

SIAPA YANG BERDOA?

Manusia...
Naluri manusia itu sendiri yang mematri...
Cantik, indah, kacak, kaya, wangi...
Sekilas pendangan cukuplah, kata hati...
Kesempurnaan yang dicari tanpa henti...
Milik siapa? Nun di atas ada Yang Maha...
Bodohnya manusia kerana kepincangan...
Aku juga manusia yang alpa lagi hina...
Tapi skop pandangan aku mungkin sedikit berbeza...
Apa yang aku lakukan selalunya dikritik...
Arght, bukan aku minta datangnya penganalisis hidup aku...
Bukan aku suruh jadi penilik nasib untuk aku...
Nahunya, mereka juga sedar mereka itu siapa...
Prejudis selalunya sifat semulajadi manusia...
Sejak azali ia dimanja untuk menjadi raja...
Semua sama, aku juga begitu...
Dihina, didusta, disepak dunia...
Itu normal, saat mencari segala...
Kekadang lupa itu bukan hak semua...
Tapi selagi nafsu memberontak, belasah saja...
Biarlah apa yang manusia lain lakukan...
Aku masih ada sedikit gembira, walaupun sedikit cela...
Disamping keluarga, sahabat, teman, dan 'dia'...
Aku pun masih kesamaran akan motif aku menulis kali ini...
Aku sedang menunggu keputusan peperiksaan aku...
Arght.....
Pada Mu aku bersujud...
Ceh, dalam dilema baru merayu manis bicara...
Itukan manusia...
Dan aku, MANUSIA...

Tuesday, December 16, 2008

TERIMA KASIH, SYURGA

Sekadar gambar hiasan
Kepala Batas, 17 Disember 2008 : Hasil maklumat dari orang awam, penulis blog ini dijumpai semula dalam suasana yang girang dan dalam keadaan normal tanpa kesan pergelutan. Beliau yang memakai baju kemeja berlengan panjang dan berseluar bell bottom berwarna hitam tersengih panjang bak kerang busuk setelah seseorang yang amat disayanginya mencium pipinya seraya mengucapkan, "Arhhh... I'm sorry dear... Macam mana boleh lupa daa... Dah lima hari terlepas... Eppy besday!!! Every year tak pernah miss, sorry untuk kali ni..... Blablablablablabla.....", dalam nada yang penuh bermakna. Menurut Mak Timah Potpet, seorang penjual air buah-buahan, penurunan harga minyak sedikit meredakan beban yang dihadapi oleh usahawan kecil-kecilan sepertinya.

Monday, December 15, 2008

EKSTRAKKAN AKU MIMPI

Butterworth, 15 Disember 2008 : Penulis blog ini sekali lagi dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam biliknya sendiri sambil radio yang masih memutarkan lagu Death Is Just A While dendangan Mandatory masih berputar. Motif masih dalam kesamaran dan menurut Detektif Nassert, penulis blog ini dikongkong tahap depresi yang tinggi. Siasatan masih dalam progres dan disiasat di bawah kanun keseksaan. Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat, sila hubungi balai polis berdekatan dan hadiah misteri menanti anda.

Sunday, December 14, 2008

30 HARI MENCARI MATI 7

SKATE DAN MUSNAH!!! Latihan meluncur secara gerila.... Disulami kegelapan malam yang tua memanggil pagi, kami dengan rasa megahnya (tanpa perasaan malu... Hahak!!!) meluncur di tapak meletak kereta yang lokasinya terpaksa dirahsiakan setelah lokasi awal dibatalkan kerana dihalau Pak Guard... Dalam banyak-banyak yang hadir, hanya tiga orang yang meluncur dan mengayuh... Yang lain asyik bergelak ketawa menyaksikan kami jatuh, bangun, luncur, jatuh, bangun, luncur, jatuh, jatuh, jatuh, jatuh... Seperti biasa, apa-apa sahaja aktiviti yang aku jalankan walaupun ringan, luka dan darah tetap bertandang... Huh! Malam dan pagi yang amat menyeronokkan.... Ini bukan aktiviti yang dijalankan secara profesional tapi secara gila babi tahap dewa sembelit!
Dan aku bertambah bijak mengawal papan selaju sekarang jika dibandingkan dahulu...

p/s : Hanya dua gambar... Yang lain terdapat unsur-unsur **** yang melampau... Hahahak!!!

Sunday, December 7, 2008

DESTINASI MENUJU MATI

Ia kejam... Ia pincang... Ia kelam... Ia sumbang...
HIDUP TAK SEINDAH LUKISAN
Mati itu seni... Juga destinasi...

Butterworth, 8 Disember 2008: Penulis blog ini dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dihadapan komputer peribadinya sambil tangan kirinya masih memegang berus lukisan bersaiz sederhana. Nota di atas adalah nota terakhir yang ditinggalkan. Kes masih disiasat di bawah kanun keseksaan.

Saturday, December 6, 2008

PENGUMAN YANG TERGAMAM

30 HARI MENCARI MATI cuba memalitkan segala memori yang aku sentalkan sewaktu cuti kali ini... Keenam-enam entry di bawah hanya sebahagian darinya... Ada yang belum di palitkan... Ada juga aktiviti yang akan dilewati di hari mendatang... Antaranya: Reunion besar-besaran S.M.K.D.O.B. untuk generasi 2002-2008, futsal gila raban, piknik yang rawk n roll, jammin, dan segala macam mak nenek lagi.... Masa muda masa bermasalah!!!! Yearght!
p/s: Ada yang berkata, "Apa lar buat blog macam penulisan 'diari'... Tak col langsung"..
Jawab aku, "Mampos lar!!! Ni blog aku, bukan blog ang..."...
Hahahak!!!!

30 HARI MENCARI MATI, 6

PENANG METAL TYRANTS!!!! Extreme metal force is hailing from the darkest abyss..
Memang aku dan Syammen teruja..
MISTIK kembali...!
Aku membesar dengan irama gelap dari Mistik dan setelah sekian lama Mistik bertapa, mereka kembali dengan penuh tenaga... Band iringan lain seperti Argonist, Brabazom, Psirosix, Dissectomy, Virus V juga hebat tapi aku datang semata-mata kerana Mistik...Band yang lain sudah acap kali juga aku saksikan keganasan mereka dan ada dikalangan mereka adalah kenalan...
Aku sedikit penat sewaktu sesi Mistik kerana telah mencurahkan semua tenaga sewaktu Brabazom menggila... Aku mosh,bang dan menurun macam orang gila.... Lutut, kaki luka teruk dibuatnya...Yearght!!!
Bro Key @ Arkeyron (Growhler Mistik) yang cool berborak dengan kami... Wah, dia syaithan besar!!!! Hahahak!!! Cik Kam ( pemain drum Mistik) mengamanahkan aku untuk mempromosikan studio barunya di sebelah seberang...
p/s : Terima kasih kepada Hasif (Ex-D.O.B.) yang menjadi photographer
walaupun kamera aku agak susah untuk di gunakan...

30 HARI MENCARI MATI, 5

Terima Kasih yang teramat kepada Halem sXe yang melayan aku dengan sempurna sewaktu kedatangan aku ke Unisel, lalu membawa aku melewati setiap genap ruang Kuala Lumpur... Kami melepasi malam (stay out) bersama-sama, dan menyaksikan persembahan langsung sebuah band raegae dari Jepun di Bukit Bintang.... Walaupun paginya hujan, kami berjaya menempek di sebuah bangunan lama, terima kasih juga kepada Pak Guard di situ yang mengejut kami bangun pagi.... Ceh, aku bawa balik banyak betul stuff... Walaupun aku boleh dikategorikan sebagai metalhead tegar, namun tiada diskriminasi bagi aku untuk melayan genre lain...


p/s : "Nanti aku bawak ang p beli stuff metal...!!!" itu kata Halem... Hahahak!!!

30 HARI MENCARI MATI, 4

Hari yang amat bermakna untuk kami sekeluarga.... Anak sulung dalam keluarga besar ini menggengam segulung penghargaan... Bertempat di UiTM Shah Alam, pelajar terbaik jurusan Fotografi UiTM Sri Iskandar ini dirai... Walaupun awalannya banyak dugaan juga masalah untuk kami sekeluarga ke sana, namun ini tetap kenyataan... Tahniah, walaupun aku dan abang aku sedang berkonfrantasi, namun aku tetap menyanjung tinggi beliau...

p/s : Awalannya, tok aku merajuk kerana sedikit salah faham...

Aku antara cucunya yang paling rapat berjaya memujuk... Yearght!

30 HARI MENCARI MATI, 3

Bawang yang nak sangat mandi air terjun mengajak aku dan P'Yat juga ditemani adiknya, Aidil yang sangat cool ke Sedim... Rancangan asal, ramai yang akan pergi namun rakan-rakan yang lain terikat dengan komitmen lain, mereka masih bekerja... Jadi, kami berempat pergi jua!!!!
Banyak memori yang menarik sperti meluncur jeram yang laju, P'Yat tak berhenti berendam, dan macam-macam!!!
p/s : Ikutkan, hari tersebut aku ada gig...
Tapi itu hari terakhir Bawang di sini sebelum pulang ke Kem (Tentera)...
Demi kawan...

30 HARI MENCARI MATI, 2

Ini bukan entry yang terperinci, cuma sekadar ada...
Aku, En.Bawang (Izwan), Bal dan P'Yat bersama-sama bercadang untuk melepasi malam (stay out) namun kami tiada destinasi yang mutlak... Ada yang nak ke Ipoh, ada yang nak ke Padang Kota dan ada yang nak ke Batu Kawan...
Sebelum balik, kami sempat menyaksikan panorama indah yang tercetus dari bunga api yang bertebaran indah di angkasa kelam...
p/s : Aku tak ceritakan terperinci kerana malam itu sangat gila dan ******... Hahahak!

30 HARI MENCARI MATI,1

Setibanya sahaja aku di terminal terakhir setelah lebih 8 jam perjalanan dari selatan ke utara setelah cuti semester bermula, aku keletihan amat... Apa yang ada dalam benak fikiran aku adalah bagaimana aku hendak memaksimakan saat senggang aku dengan penuh keghairahan setelah hampir empat bulan kiranya aku melepaskan keseronokan remaja demi fokus penting aku... Disambut peluk cium dari ibunda tercinta, aku terbang dalam syurga, mungkin...
Oh, aku mahu memalitkan memori semasa cuti ini yang bagi aku sangat GILA dan HEBAT berbanding sebelumnya...
Malam setelah kepulangan aku, kami sekeluarga bersama-sama bergerak ke Pejabat Tabung Haji di Pulau Pinang untuk menghantar Tok dan Tokwan menyahut seruan Ilahi, menunaikan haji... Aku dan abang disambut dengan pelukan dari Tok, Tokwan, Pak Jang Kandaq (Ni rawker dulu...), Mak Cik Shinar dan ahli keluarga yang lain... Sumpah, nilai kekeluargaan antara kami sangat utuh walaupun jarang bersua juga beramah mesra... Ada cahaya keceriaan di wajah Tok dan Tokwan... Benar, mereka sangat teruja semenjak tahun lepas lagi... Sambil berjenaka, aku katakan pada Mak Cik Shinar, "Suruh Tok doakan mak dapat menantu...".. Hahahak!!! Banyak lagi peristiwa yang menarik tapi cukuplah yang ini...
p/s : Kamera yang selalu menemani aku tertinggal...
Jadi, tiada gambar untuk diselitkan... Maaf...

Friday, November 28, 2008

PENGUMUMAN YANG TERGAMAM

Sangat gila cuti kali ini!!!! Aku betul-betul curi balik apa yang aku lepaskan selama aku di kampus... Mulai Sabtu ini, bertambah gila aku!!!! Yearght!!!!
p/s : aktiviti penulisan dan kemaskini blog terpaksa distatikkan...

Saturday, November 22, 2008

KELAK KITA TUA...

Selepas balik dari bermusik tadi, sambil mengemaskini blog, terlintas ilham di minda kotor ini tatkala mata masih belum terhenyak.... Lalu, tanpa alatan yang mencukupi, aku lantas mewarna tanpa lakaran kasar yang jelas...

Aku baru menyiapkan kira-kira 3o% proses mewarna... Mungkin mengambil dua hari untuk disiapkan, itupun kalau aku rajinlah... Habis besepah bilik dan comot tangan, peha (aku hanya memakai boxer...Hahahak!!!) dan muka aku dek terlalu komited... Nanti akan aku sisipkan jika telah siap... Tajuknya mungkin 'Kelak Kita Tua'... Mengapa? Fikirlah sendiri...

FAREWELL, TO/DIE/FOR

You've been hurt so many times...
You always seemed to buy their lies...
But that's all gone...
Forget the past...
Go on and dry your tears...
Now come with me...
I'll take you someplace safe...
The world is cold and so alone...
We've got no place to call our own...
But I don't care...
Come run with me...
And we will find a way...
Believe me now...
I'LL TAKE YOU SOMEPLACE SAFE...
Will you take my hand...
Because nothing never ever lasts...
I'll seal our love...
For eternity....
p/s : Dipetik dari Farewell (To/Die/For)... Lagu paling bermakna dalam hidup aku...

SAAT UNTUK DIBEKUKAN

Mood aku benar-benar tergugat entah kenapa hari ini... Kasihan Pali, dari dulu hingga kini masih sabar bersama walaupun kekadang kegila-gilaan, kematangan, amarah, dan segala lagi sifat buruk mahupun baik aku bercampur-aduk... Selain keluarga terutamanya ibunda tercinta, hanya dia yang paling memahami aku... Sepetang melayan Pali makan, jalan-jalan pusing walaupun hujan, aku tertidur marghribnya, arght!!!
Tatkala malam yang beransur tua mencari mati, Pali datang membawa gitarnya dan mengajak aku untuk bermusik@ jamm... Aku yang masih tak betul kondensi ini, pun bersiap... Pali dah macam ahli keluarga aku sendiri jadi dia memang tak kekok melepak menanti aku di dalam rumah, siap bermain permainan video bersama adik aku lagi... Sambil ditemani lagu California Dreams (Mamas & Papas), aku pun bersiap, lalu mencapai gitar kesayangan aku...
Sesi memanaskan badan @ sound check pun bermula... Agak lama dan dingin situasinya... Lalu Pali pun bersuara "first song, cepat lar...", dan disuruhnya aku menerajui gitar... Aku belasah sahaja... Antara lagu yang dimainkan :
  1. In The Name Of Sil-Khannas (Ryusgnal)... Sebagai pembuka... Sangat teruja...
  2. Mengarca Hiba (As-Sahar).... Aku pun terpaksa growhl, Pali gelakkan aku... Ceh...
  3. Terharu (Sweet Charity)... Pali pulak nyanyi, aku pulak gelak...
  4. Come Undone (Blind Tribe)... Tak sempat habis pun...
  5. Keranda Untuk Mama... Lagu sendiri tapi dalam versi baru...
  6. Tales From The Eastern Ancestors (Graveless)... Mood aku kembali bersemangat!
  7. Farewell (To/Die/For)... Lagu tema kami berempat... Aku dan Pali sama-sama menyanyi... Oh...!!!
  8. Crown Of Magician... Juga lagu sendiri... Dua kali diulang...

Sewaktu lagu Crown Of Magician, lagu terakhir, aku sebak dan Pali begitu jua... Memori lama kembali menjelma... Oh, aku rindukan saat itu, Pali jua... Hampir dua jam kami menghabiskan masa bermusik setelah sekian lama tidak bermusik bersama, ini pun tanpa dirancang...

Selesainya, kami mencari tempat untuk minum, lepak... Saat ini, kami kembali mengingati segala susah-payah kami (Pali, aku, Angah, Syammen...) melayari hari bersama... Dari saat awal perkenalan kami hingga kini, habis dibogelkan... Arrht, Angah!!! Men!!! Balik lar cepat!!! Dipendekkan cerita, sewaktu pagi sudah remaja, kami berhenti di satu lokasi tempat kami melepak dulu: hentian tol, bersama-sama mendengar kicauan beburung malam... Sumpah, malam dan pagi ini sangat bermakna bagi kami tapi sedikit cacat kerana ketiadaan Angah dan Men... Aku hampir-hampir menangis... Kata Pali, "hang ok? Esok aku dah nak balik..."...

p/s : Walaupun band dah R.I.P...Kata Pali, bila Angah dan Men balik nanti, jamm lagi... Sumpah, aku nak menangis...

Friday, November 21, 2008

KEARIFAN UNTUK DITAKRIFKAN

ARGHT!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Ini kali pertama aku menjadi sesuatu yang tak pernah aku buat...
Tapi...
Aku dah bosan menjadi penyiasat maya...
Aku dah bosan bergelar 'secret admirer'...
Aku dah bosan dengan kearifan tega...
Aku dah bosan dengan semua...
Aku dah bosan dengan 'Dia'...
AKU BOSAN DENGAN SEGALA!!!!
Helaian baru...
Aku dah siapkan satu lagu untuk 'Dia'...
Akustika satu irama...
(Cuma lagu lama yang diremaster kembali...)
Firasatku, ingin diperdengarkan nanti...
Tapi...
AKU BOSAN DENGAN PEREMPUAN CANGGUNG MACAM DIA!!!
p/s : Aku yang berhenti berharap...

Thursday, November 20, 2008

KEBOBROKAN YANG TERLAKAR

Tatkala minda ini lemah tanpa persetubuhan yang selesa dengan naluri sendiri, hati kecil aku seakan-akan dihenyak dengan ratusan penyesalan yang aku sendiri nafikan... Masakan benar aku diam sebegitu rupa? Dimana stigma yang aku megahkan dulu? Diman halanya perspektif aku yang lalu? Alternatif penyelesaian mahupun medium perlepasan yang tiba-tiba berubah warnanya, magenta lalu kehitaman... Oh, aku masih waras untuk melakukannya... Minda kelolaan bias nafsu, itu bukan aku... Arght, persetankanlah... (Ceh, nak dihormati tapi tak menghormati... Salah sendiri, cakap aku yang salah... Kononnya aku tak memahami konsep kawan... Demi kenalan (tak rapat pun..), dua orang yang kau bilang kawan, kau salahkan... Dulu masa kau ludah mereka dan diludah kembali, siapa yang berada di sisi? Sekarang, ludah dulu kau jilat, telan, layan, kau muntahkan pula ke hala dua orang tadi... Cakap, "aku doakan agar kembali seperti sediakala...", tapi buruk-burukkan bila bicara dengan orang lain... Bodoh tangani stress, rasalah...Betullah, aku yang tak faham konsep kawan...)...
Helaian baru...
Kiranya ingin aku berjumpa Bal sekarang untuk ke tempat kerja Mat Secret, Lel, Pecon dan P'Yat di restoran berlatar muka pantai, setelah puas bercanda mesra dengan Pali (setelah proses merakamkan lagu tergendala...) berteman gitar-gitar yang entah berapa lama tak diusap dengan manja... Namun, ada kerja yang perlu dibereskan sekarang... Terfikir kembali, aku sudah jarang membelah kehidupan malam seperti dulu... Dari awal marghrib hingga paginya, rumah bukan saksi kewujudan aku, dulu... Tapi, dua hari ini aku agak kepenatan, mungkin... Perjalanan yang jauh, setibanya terus bersama keluarga menghantar Tok Wan dan Tok ke tempat jemaah haji berkumpul.... Oh, aku terlupa!!!!!! Nanti aku cuba selitkan memori menghantar Tok Wan dan Tok malam semalam... Arght, sudah nyanyok kiranya aku terlupa untuk menyuratkan cerita yang sebegini indah... Nantilah, aku cuaikan masa untuk itu...

Wednesday, November 19, 2008

UCAPAN KERTAS TAKDIR (SPM)

Ey, budak kecik... Aku hampir terlupa... Tapi sebelum itu, aku malas membalas pesanan ringkas dulu demi hari ini... Tak payah menyusun kata lagi...Aku cuma nak cakap, tumpukan fokus, pastikan semua yang disuratkan adalah keteguhan... Ini tahun akhir, buat yang terbaik... Mungkin, boleh menyusul berjumpa aku kemudian di selatan... Selamat menyambut kertas takdir dengan keterbukaan... Lambat, tapi aku ucapkan juga... Hahahak!!!! Dah habis nanti, banyakkan latihan, aku nak tengok lukisan-lukisan baru.... Sila paparkan di blog anda @ ILLIANA...
p/s : Ucapan untuk 'budak kecik peminat MCR/Within Temptation'.... Dia sebahagian daripada memori kiri aku....

AKU, DIA, TANPA MEREKA

Latar tempat : I*****a Cafe, tempat biasa...
Latar masa : Petang yang masih mentah, hari ini...
Latar masyarakat : Aku, dia, berbeza jalan tapi berkongsi satu hati...
Dekorasi : Kopi ais, sirap bandung, Winston 20s...
Dia balik kerana menyambut kepulangan aku...
Katanya, "balik hanya untuk beberapa hari sahaja...".
Bidasku, "Kalau sibuk belajar lagi, usah balik...".
Nahunya, aku tahu dia pulang demi bersama aku...
Aku, dia, antara kami...
Tidak pernah menghamburkan kalimah SAYANG...
Tersudut di hati, kalimah tadi subur, sihat dan bugar...
Soalnya, "macam mana peperiksaan?".
Jawabku, "cakap tentang lainlah...".
Dia tersenyum lalu aku capai rokok...
Heh, kita dah matang berbanding dulu...
Hamburku, "esok, wayang... Berani?".
Selarnya, "James Bond?".
Apa-apa saja, asalkan kita bersama...
Bersama hingga kita ketawa...
Seperti dulu...
Itu janji, bukan sekadar alas bicara...
p/s : Dia masih setia kerana percaya... Dan aku tak pernah berpaling... Didedikasi untuk 'Dia'... Aku tak kecewa...

Tuesday, November 18, 2008

SEX, DRUGS, RAWKnROLL!!!!

Yeartght.... Dah kembali ke tempat di mana aku sepatutnya berada... Walaupun kemungkinan besar tak seindah kepulangan-kepulangan terdahulu... Sakit, aku sakit... Aku masih tak akan berbicara tentang peperiksaan yang aku tentangi... Abah, tolong bagi abangah ruang... Aku baru sahaja sampai, layan Laila yang baru celik matanya.... Aku harapkan aku kembali pulih... Semester ini, banyak keseronokan hidup remaja yang aku lepaskan... Dan kepulangan kali ini untuk menebus kembali kesemuanya... Hail...
Tapi, aku akan cuba untuk tidak kembali memalit dosa dulu... Aku tak mahu 'berahi' lagi... Aku tak mahu 'terbang' lagi... Kepada si dia teman bersangsi dan kapal terbang mimpi, aku dah letih... Aku tak mahu berselimut bersama lagi... Sex, drugs, rawkNroll? Sex? Drugs? Ada jurang api di sana, pergilah mampus... RawkNroll? Metalhead rules da street!!!
p/s : Aku pulang, baru tadi... Aku mengantuk amat... Kesannya, ayat dan perbendaharaan serta hukum-hakam penulisan agak tunggang-langgang... Maaf...

Saturday, November 8, 2008

POTRET

Aku cuba menyiapkan karya yang tak seberapa ini sewaktu aku tak dapat menumpukan perhatian dalam mengulangkaji pelajaran... Sumpah, aku dipengaruhi tekanan... Baru-baru ini aku asyik merenung karya-karya hasil pelukis muda yang amat berbakat, Fathullah (Ex-Infectious Maggots)... Sebelum ini aku lebih terarah untuk melukis secara realism, tapi kini aku berminat dengan teknik sebegini... Lebih abstrak, bermetafora dan tersirat, mungkin... Walaupun mungkin bagi sestengah individu, lukisan ini ibarat lakaran bodoh dari anak kecil, tapi aku amat berpuas hati... Entahlah...

Wednesday, November 5, 2008

POLITIK SI ANAK TIKUS

Aduh... Ini entri yang sedikit lari dari kebiasaan...
Aku mulakan dengan mantera seribu kemaafan... Gunakan minda rasional dan renungkan dalam pandangan juga perspektif positif kalian...
Boleh tak kiranya aku katakan pergi jahanam dengan politik? Ataupun pergi jahanam dengan kalian semua? Manusia acap kali mematri mentaliti masing-masing yang dipupuk dengan ketidapuasan dalam mencari... Kadang-kala, hal peribadi juga isu remeh boleh didagangkan demi mengaut secebis publisiti yang hanya bernyawa tanpa roh... Aku bukanlah seorang melayu tipikal, terlampau otrodoks, pro-pembangkang mahupun pro-kerajaan... Aku masih muda untuk bergiat secara langsung... Apa yang ada hanya sejalur pandangan yang berdiri atas paksi kebebasan bersuara tanpa pelanggaran hak... Kebelakangan ini aku selalu terfikir perihal para pelajar terutamanya mereka yang berdiri tersenyum di UiTM... Kebanyakannya bijak dan pandai, berhujah tentang politik... Tapi sedihnya, hak ketuanan Melayu pun entah tahu entah tidak... Aku juga pernah berdebat secara aman dengan pensyarah merangkap ustazah aku sendiri tentang hukum poloitik di Malaysia... Aku nyatakan, untuk apa berpolitik sekiranya setiap pihak bergaduh dan bermasam muka... Bukankah Islam telah menganjurkan agar umatnya bermusyawarah dan menguatkan tali persaudaraan...? Jawapannya, apa-apa sistem sekalipun haruslah digariskan syariat Islam... Katanya lagi, politik sebaiknya berlandaskan Piagam Madinah... Ayah aku orang kuat di sebelah pihak dan datuk aku pula kuat di satu pihak lagi, namun tiada konfrantasi antara mereka... Apa yang dimusykilkan, pemuda-pemuda yang baru bergiat secara aktif pula yang melakukan angkara... Bukan nak memperlekehkan mereka, tapi mereka sepatutnya menguatkan dahulu pemahaman dan belajar dahulu sepak dan terajang dunia politik sebelum melulu membabi buta... Bukan semua pemuda sebegitu, sesetengah mungkin... Aku suarakan hal politik parti bukannya politik am... Aku adalah rakyat Malaysia dan aku pasti jua memilih siapa pemimpin yang dirasakan layak, itu nyatanya...

TAK TERDUGA MENJANGKA

Seperti biasa, ada kelas atau tidak, aku masih kesiangan... Mungkin terbawa-bawa dengan tabiat lama sejak di bangku sekolah menengah lagi... Bangun dengan misi untuk meminta tunjuk ajar dari yang lebih mengerti, Cik Fariza... Arght, lupakan seketika hal tersebut... Masih seperti biasa, aku keluar tanpa membawa telefon bimbit, telefon bimbit antik kata ibu aku setelah aku kehilangan telefon yang setia bersama walaupun selalu ditinggalkan aku.. "Dah bank-in duet... Try lar check,"... Eh, apa pula? Kaget aku seketika setelah menerima pesanan ringkas dari ibu aku sebegitu... "Timakaseh... Tp, abangah ada duet lg lar... Still bleh rawk my own life...," balas aku... Aku memang jarang sangat mewar-warkan masalah aku kepada kedua ibu-bapa aku sejak di bangku kecil persekolahan... Aku amat berat untuk meminta duit, kerana aku yakin aku masih boleh hidup dengan wang pinjaman bukan PTPTN yang aku ada, walaupun semester ini aku sudah tersepit... "Mak tak mahu anak mak makan megi...," aduh, hampir menangis aku dibuatnya... Mana dia tahu aku dalam masalah? Mungkin naluri keibuan, intuisi seorang wanita yang mengisahkan semua itu... Tersudut jauh hati, aku takut aku gagal menggembirakan mereka... Satu perkara yang merunsingkan otak aku, aku betul-betul berkeringat pada semester ini... Aku belajar seperti orang gila terutamanya di dalam bilik... Aku jarang ponteng kelas berbanding semester terdahulu... Aku semakin tenang memahat sujud walaupun masih banyak cariknya... Tapi, tuah seakan-akan menjauh... Aku bukan lagi pelajar bermasalah yang berpotensi seperti di sekolah dahulu... Sekarang aku hanya seorang pelajar bermasalah tanpa potensi... Tapi, aku masih berkeyakinan tinggi terhadap Yang Maha Segala... Sesungguhnya dia tidak akan menghampakan hamba-NYA yang selalu meminta... Itu pastinya... Namun begitu, aku masih ditahan dalam dilema... Aduh...

Sunday, November 2, 2008

DOSSA KITA TERSASAR

Di mana suara itu... Dahulu ia menjengkelkan...
Di mana gema itu... Dulu ia menghambarkan...
Di mana irama itu... Dulu ia mendukakan...
Di mana segalanya... Ia menghampakan...
Datanglah, aku ekstrakkan mimpi dari cahaya...
Kau di sana, dia di situ, aku di sini...
Kita percikkan semula...

HAMBA TAK KECEWA

Kehadapan puteri-puteri lepas.... '5' mungkin...
Hamba pernah berdusta dan sangat mensia-siakan kalian semua... Hamba berdosa....
Tapi, jika kali ini hamba dianugerahkan Ilahi 'sesuatu', segala yang dulu pasti tidak akan berlaku lagi... Itu janji hamba... Itu ikrar hamba... Dan hamba bukan mencoret sia...

KULIT MINDA CANTIK

Aku pernah menceritakan kisah-kisah di sebalik foto-foto ini dahulu, sewaktu blog asal aku masih belum ditelan kedinginan angin malam akibat jari-jemari ini tidak dapat bersetubuh dengan minda kotor aku ini... Sekadar mencalit secebis ingatan sewaktu masih beroganisasi... Kecatikan hak milik semua! Bluecks!!!Hahak!

PENDAMKAN KETAMATAN

AKU TAK AKAN BERCAKAP ATAU MENULIS TENTANG PEPERIKSAAN AKU KALI INI SELAGI BELUM TAMAT!!!
Aku curahkan keringat, setitis mungkin, namun tuah mungkin bukan milik aku...
Ya Maha Segala... Aku masih tak berputus asa walaupun telah tersungkur...

MAINAN BUATAN ILHAM

Kenapa aku agak bermasalah dengan kaum Hawa? Pernah juga aku diajukan soalan sedemikian rupa... Namun, jawapan ringkas yang aku berikan aku tak berminat atau tak berkeyakinan... Huh, itu jawapan yang penuh dengan unsur penipuan... Kenapa? Aku selalu memberikan jawapan dan anggapan yang bukan-bukan mengenai diri aku kepada kaum Hawa seperti, "Tak, saya masih belajar di Kolej Komuniti sebab tak pandai...", " Ayah saya nelayan dan ibu surirumah yang ambil upah membasuh kainbaju jiran...", "Saya berkulit hitam, pendek, buncit, gemuk, hidung kemek...", "Saya minat lagu-lagu Indon dan filem Tamil...", dan blablabla apabila ditanya mengenai aku, selalunya melalui medium sistem pesanan ringkas dan email amnya... Bukan niat untuk menipu apatah lagi menafikan diri hina ini... Tapi selalunya mereka akan menjauh setelah aku berikan jawapan sebegitu dan tiada langsung penyesalan bagi aku... Hahahak! Betul... Hasilnya, aku tahu samada itu semua mainan atau kepastian... Nyatanya, fokus aku sekarang untuk jadi 'aku yang dulu' kembali... Yearght!

p/s : Ey, 'pompuan'... Lihat, aku dah menang... Hahahak!!!

TIADA TITI BASAH DIREDAH

Fikiran aku meyatakan bahawa mungkin cuti pelepasan peperiksaan kali ini akan dilewati dengan penuh rasa bosan... Namun siapa tahu... Aku dipelawa Pulai untuk ke rumahnya... Wah! Aku sangat teruja! Pulai telah berangkat sehari awal dari aku bersama temannya... Keesokan harinya, selesai sahaja ujian untuk kertas CTU241, dengan tangkas aku ke terminal, dihantar oleh senior... Walaupun banyak masalah yang nyaris membantutkan rancangan ini beberapa hari sebelum, termasuk masalah kewangan yang agak kritikal, aku tetap teguhkan tekad... Hahahak!!! Perjalanan dari Segamat ke JB sangat membosankan... Aku yang keletihan tanpa tidur yang cukup semalam, mengambil kesempatan untuk melelapkan mata... Sewaktu di terminal, ada kenalan yang menasihatkan aku agar berhati-hati dan mereka agak terkejut kerana aku bergerak sendirian untuk sekian kalinya... Yearght, itu kali pertama aku ke JB! Tapak pertama langkah kaki ini berpijak di JB, hati kecil ini lantas ketawa sendirian... Manakan tidak, suasana di JB persis di Pulai Pinang... Kalau aku ditinggalkan sendirian di JB untuk beberapa hari pun aku yakin aku mampu hidup lagi... Hahahak!!! Pulai menyatakan kesulitannya untuk menjemput aku di JB, lantas masih sendirian aku menaiki bas ke Kota Tinggi... Tapi, tidaklah sebosan tadi... Permandangan di JB sangat indah, membangkitkan kerinduan aku untuk pulang ke Pulau Pinang... Sesampai sahaja aku di terminal Kota Tinggi, Pulai telah tercongok menanti... Sekali lagi menaiki bas untuk ke rumah Pulai... Disambut dengan keramahan ibu Pulai, hati terasa tenang... Aku menghabiskan kira-kira tiga hari di sana... Arght, banyak lagi kiranya untuk aku tuliskan, tapi.... Terima kasih yang teramat sangat kepada ayah dan ibu Pulai (selamat menunaikan haji... Selamat pergi juga kembali..), Abang Jep, Abang Epol, dan semestinya Pulai... Aku pasti datang lagi... JB sangat indah!!!!

Friday, October 31, 2008

AKU JATUH LAGI

Yang Maha Segala...
Aku hampir jatuh lagi...
Hari ini juga semalam...
Mungkin pula hari muka...
Yang Maha Segala...
Aku betul-betul terjelepuk tadi...
Mungkin sama juga setiap masa...
Sudah tibakah hari aku?

CETUS GETUS TULUS

Aku jatuh terjelepuk secara tiba-tiba...
"Oh, itu bukan aku..."
Aku bukan lagi yang dulu...
Aku sangat terkilan dengan semua...
"Oh, itu juga bukan aku..."

Friday, October 24, 2008

DIA MASIH DI SITU

"Abangah p sekolah sebab tu lama tak balik..."
Aku masih ingat ayat di atas yang terkeluar dari mulut adik aku yang satu ini....
Dia berkata sedemikian untuk menenangkan adik aku yang bongsu iaitu Laila Najihah yang selalu bertanyakan, " Abangah p mana...? Lama tak balik..."
Auni Hartini, adik keempat aku yang paling banyak mengomel dan manja...
Masih di bangku kecil prasekolah...
Arght!!! Semakin lama aku aku menatap gambar mereka, semakin memberontak hati liar aku ini untuk kembali... Tapi, aku masih....

MENBENCI HIDUP

“What they are saying…
What they are judging…
Are not the same…”
Atas nama kemuliaan,
Dengan dasar kecantikan,
Bertunjangkan kemewahan,
Kewujudan insan untuk dihina…
Kusut di atas rabak di bawah,
Rongak di depan tempang di belakang,
Comot di tepi berbau di sekeliling,
Fizikal itu plaintif, nafsu itu hakim…
Apa yang sempurna?
Syurgalara ketawa…
Apa yang mulia?
Nerakahina terkesima…
Manifesto masa depan…
Bukankah itu kepalsuan?
Boneka liar mengejek…
Bukankah itu kebodohan?

THERE IS A LIE OUTSIDE...

There is a lie outside…
When a little child is unable to speak…
Conversation and communication are not allowed…
Any words are prohibited to push out…
There is a lie outside…
No one can breathe like usual…
Because the legal has said so yesterday…
“Obey the king and you’ll safe!”
Just obey and obey and obey….
Only when all the kids are brave to hold the guns…
Paint the world red with their pure blood…
And crack the rainbow without any doubt…
With lie they are becoming stronger than ever…
There is a lie outside…
When this child need to smile…
For the glory that he celebrates for…
Underneath the discrimination and sorrowful childhood…

Wednesday, October 22, 2008

TOLONG BENCI AKU

Dia... Entahlah... Awalannya, aku sekadar ingin mengubat rasa bosan... Aku cuma main-main... Tapi, kini aku sudah merasakannya... Seperti angin pagi yang datang bertandang seketika, dinginnya tetap terasa walaupun mentari rancak ketawa... Aku cuma anak kecil... Eh, pembetulan... Aku memang anak kecil... Aku langsung tak berani untuk lakukan apa-apa... Dia memang sangat hebat... Aku pernah berjanji lama dulu sewaktu kali 'Ke-4', aku akan tutup pintu hati aku jika tewas kali ini... Nah, terberak kau!!! Memang aku tewas... Aku tutup rapat hati kotor ini, aku hitamkan minda kosong ini dengan kehidupan tanpa bunga-bunga.. Cuma sesekali, mata liar ini gatal memerhatikan model yang menggayakan fesyen pusat dan lurah... Normallah, lumrah lelaki... Aku ubah gaya hidup, terutamanya dari sudut penampilan dan pergaulan... Aku sudah tak pedulikan samada rambut elok atau kusut... Aku dinginkan perasaan untuk beramah mesra dengan perempuan... Tapi, Dia sangat hebat... Aku tahu Dia sangat bencikan aku walaupun cuma sekali berhubung... Dan malam itu, aku tahu kawan aku pun menantikan Dia... Maka, sebagai seorang kawan, aku lepaskan... Maafkan aku, Dia yang..........
p/s: Dah lama aku tak rasakannya...
Dan aku nak dia bencikan aku...

Tuesday, October 21, 2008

KENAPA AKU BISU?

Aku tak tahu dia di situ...Aku tak pernah ambil tahu....
Aku betul-betul tak tahu...Aku bukan main-main aku tak tahu....
Aku sangat teruja dia di situ....Aku juga kecewa dia di situ....
Aku dah tak mahu tahu....Aku memang tak nak tahu....
Kenapa aku bisu....Sedangkan aku menipu....
Aku menipu yang aku tahu.....

Monday, October 20, 2008

MASALAH KETUMBUHAN LAGI

Kadang-kadang, aku ingin sangat nak mencarut bila aku dengar, baca, atau apa-apa sahaja yang bersangkut-paut dengan nilai persahabatan jika ia dinyatakan oleh seseorang yang kurang memahami secara mendalam tentang persahabatan...Kadang-kadang, orang ramai bercakap tentang persahabatan, namun mereka tidak dapat membezakan antara kawan, teman, sahabat mahupun kenalan...Jangan sekadar berhujah...Aku nak sangat mencarut sekarang...Apa yang aku lakukan bukan nak mencari masalah dengan orang, lebih-lebih lagi dengan orang yang menjalin hubungan dengan aku...Tapi, bila kita lakukan sesuatu untuk mereka, mungkin ia disalahtafsirkan...Dan, kalau tak sukakan seseorang, jangan diamkan dan lepaskan melalui non-vernal...Itu bodoh!!!Aku memang tak kisah jika dibenci...Sudah lama aku rasakan semua itu...Tapi aku sangat kecewa bila orang lain berselisih atau bermasam muka dengan orang yang berada di sisi aku (keluarga, sahabat, kawan....)....Aku memang nak sangat mencarut...Tapi Pulai masih anggap dia kawan dan sebagai kawan Pulai, aku masih bersabar...
p/s : Entry ini terzahir dari amarah, kecewa...
Mungkin sebab itulah, ayat dan perbendaharaan kata
agak pincang...maaf...
Gambar di atas, mereka sangat menghargai nilai perhubungan...

Friday, October 17, 2008

SECEBIS CERIA DI HARI MULIA

Paul Smith, Edwin, Zakiah Collection, Che Yah Collection ( Tok aku..), Vincci, Levis, blablabla...Akhirnya, hanya kain pelikat dan baju hasil jahitn tok aku yang membaluti tubuh aku seharian di Aidilfitri....Hahahahak!!! Sangat indah Aidilfitri kali ini...Tak terungkap dengan taipan di ruang ini...Semoga nafas ini masih kuat terhembus menantikan tibanya lagi tahun hadapan...

p/s: Ayah aku memang agak kurang gemar bergambar...